Thursday, September 16, 2010

SELAMAT MENYAMBUT HARI MALAYSIA..

Hari Malaysia disambut pada 16hb.September setiap tahun untuk memperingati penubuhan persekutuan Malaysia ditarikh yang sama pada tahun 1963. Ia menandakan penyertaan bersama Malaya(Semenanjung Malaysia)Borneo Utara(Sabah),Sarawak dan Singapura bagi membentuk Malaysia . Tetapi Singapura telah keluar daripada Malaysia untuk menjadi sebuah republik pada 9 Ogos 1965.

Pembentukan persekutuan baru ini dirancangkan berlaku pada 1 Jun 1963 namun kemudiannya ditangguhkan ke 31 Ogos 1963 bagi membolehkan ia disambut bersama-sama dengan sambutan hari kemerdekaan ke-6.

Beberapa isu berkaitan dengan bantahan Indonesia dan Filipina untuk pembentukan Malaysia memperlambatkan pengisytiharan ke 16 September pada tahun yang sama.

Penangguhan itu juga dibuat bagi membolehkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu memperuntukkan masa membuat referendum di Borneo Utara (kini Sabah) dan Sarawak.

Sehingga tahun 2009, Hari Malaysia merupakan cuti am negeri Sabah dan Sarawak dan bukan merupakan cuti am di Semenanjung Malaysia.

Pada tahun ini 2010 buat julung kalinya negara kita menerusi kerajaan persekutuan, dengan persetujuan kerajaan negeri mengiktiraf secara rasmi Hari Malaysia disambut pada 16 September dan merupakan cuti umum seluruh negara.

Oleh itu bersama kita menghayati dan menghargai detik 16 September (Hari Malaysia) kerana negara ini merupakan tanah air yang telah dibina bersama, tanpa mengira latar belakang, agama, kebudayaan dan pegangan politik.

Selamat menyambut Hari Malaysia.

No comments:

Post a Comment