My Dolphin

Friday, January 8, 2010

Utamakan Produk Keluaran Tempatan


Sekadar gambar hiasan


    Sedar atau tidak, selama ini kita banyak memberi kredit kepada produk-produk luar negara . Namun sebenarnya dari segi kualiti dan kuantiti, produk negara kita adalah setanding dengan produk-produk negara luar. 
    Kempen Beli Barangan Buatan Malaysia telah dilancarkan buat julung kalinya pada tahun 1984. Kini, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Penguna (KPDNHEP) telah menghidupkan kembali kempen ini yang antara lain adalah bertujuan untuk meningkatkan permintaan domestik terhadap barangan buatan tempatan dan merangsang ekonomi negara.
    Masyarakat pengguna,penjual,pengilang dan media haruslah berkerjasama bagi memastikan kempen  ini membuahkan hasil seperti yang diharapkan. 
Antara langkah untuk menjayakan kempen ini adalah:-
1. Masyarakat pengguna harus mengubah sikap dan tanggapan terhadap barangan buatan tempatan.
2. Masyarakat peniaga bertindak memperluaskan pemasaran produk tempatan dan mengadakan rak khusus bagi memperagakan produk tempatan / memberikan mata ganjaran setiap kali pembeli membeli barangan tempatan.
3. Pengilang/pengeluar memberi tumpuan lebih serius terhadap kualiti produk,pembungkusan,penjenamaan,kos pengilangan dan pengedaran.Selain daripada itu untuk memastikan produk yang dikeluarkan terus mendapat tempat dalam pasaran, pengeluar perlu sentiasa berusaha untuk memberi inovasi baru kepada produk mereka. 
4. Pihak  berkuasa tempatan (PBT) serta KPDNHEP  boleh membantu dalam pengedaran dan pemasaran produk tempatan dengan memperbanyakkan lagi tapak niaga sementara khususnya untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS)/peniaga kecil. Menggalakkan PKS menggunakan logo buatan Malaysia secara meluas untuk barangan mereka, memperbanyakkan lagi program untuk mendidik masyarakat pengguna bagi memahami kepentingan mengutamakan produk tempatan serta mempromosi produk tempatan yang tidak dikenali tetapi berpotensi.Penganjuran ekspo perdagangan barangan Malaysia di seluruh daerah/negeri/negara merupakan pendekatan yang baik untuk mewujudkan lebih banyak permintaan terhadap barangan dan perkhidmatan tempatan.
5. Media perlu melipatgandakan usaha untuk memberi kesedaran dan mendidik masyarakat mengutamakan barangan tempatan.
    Perkembangan teknologi di negara kita kini setaraf dengan negara luar,jadi tidak mustahil bagi produk kita untuk mempunyai kualiti yang setanding dan mungkin lebih baik daripada produk antarabangsa.Sebagai rakyat Malaysia, kita perlu membuang sikap prejudis terhadap barangan kita.
   Dengan membeli barangan tempatan, kita dapat memupuk semangat kekitaan,patriotisme dan dapat membantu melestarikan ekonomi negara. Pergerakan kitaran ekonomi yang baik dapat menjana pertumbuhan ekonomi yang lebih produktif. Membeli barangan tempatan dapat mengurangkan pengaliran wang negara keluar. 
    Oleh itu, utamakan produk keluaran tempatan. Membeli dan menggunakan barangan tempatan merupakan tindakan awal yang perlu diambil untuk bersama-sama menyumbang kepada pengukuhan ekonomi negara kita yang tercinta.
Salam hormat dan salam perpaduan.
Sumber rujukan:- 
www.bernama.com, cikgupa.wordpress.com, pmr.penerangan.gov.my & www.kpdnkk.gov.my

No comments:

Post a Comment

About This Blog

Lorem Ipsum

  © Blogger templates Palm by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP